
Penulis Buku

MOHAMAD
MUSIP
Tentang Saya
Pernah berkhidmat sebagai School Improvement Specialist
Coach (SISC+) di Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah,
Melaka. Pernah juga menjadi Pensyarah Cemerlang Bahasa
Melayu di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan
Melayu Melaka. Sejak 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka
menganugerahinya watikah Munsyi Dewan, iaitu pembimbing
dan penceramah bahasa kepada agensi awam dan swasta.
Berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu selama 15 tahun
di empat buah sekolah menengah dan 20 tahun di maktab/
institu pendidikan guru. Kini menjadi penulis dan pembimbing
bahasa di laman maya sepenuh masa.
Pengalaman
​
Encik Mohamad bin Hj Musip, berpengalaman selama 37 tahun sebagai pendidik. Sepanjang tempoh itu, beliau pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu di SMK Abdullah, Semporna, Sabah (1978-1981); SMJK St Dominic, Lahad Datu, Sabah (1981-1982); SM Munsyi Abdullah, Melaka (1982-1985); dan SM Sains Tengku Abdullah, Raub, Pahang (1989-1995). Sepanjang kerjaya itu, beliau turut aktif dalam aktiviti penerbitan majalah sekolah, penulisan, pengacaraan, bahas, syarahan, dan pantun.
​
Pada tahun 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka menganugerahi beliau sebagai Munsyi Dewan, yang membolehkan beliau mewakili badan itu untuk menyebarkan bahasa Melayu kepada kakitangan sektor awam dan sektor swasta. Sejak 1995 hingga kini, beliau telah berceramah kepada pelbagai peringkat pengguna bahasa, termasuk kakitangan Kementerian Pertahanan, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parlimen Malaysia, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dewan Bahasa dan Pustaka wilayah Selatan (DBPWS) dan Kementerian Pendidikan sendiri. Beliau turut membantu agensi kerajaan negeri termasuk Institut Pengurusan Melaka (IPM) dalam pelaksanaan kursus bahasa dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Melaka (IKSEP) dalam penyuntingan buku Khazanah Warisan Pantun Melayu.
​
Selama 20 tahun berada di Maktab/Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu (IPGKPM), beliau terlibat dalam pengajaran bidang Tatabahasa, Komunikasi, dan Literasi Bahasa Melayu. Dalam tempoh yang sama beliau turut membantu bahagian-bahagian bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pelbagai tugas termasuk sebagai penyunting modul dan dokumen rasmi. Sewaktu Program Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2012, beliau terlibat sebagai Ketua Panel Penulis Modul Pemantapan Tatabahasa untuk guru-guru seluruh negara serta mengendalikan kursus induksi kepada pensyarah-pensyarah di setiap zon. Sebagai Munsyi Dewan, beliau dilantik menduduki panel penyuntingan draf buku Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM, 2013-2025) yang dilancarkan pada September 2013 oleh YAB Perdana Menteri. Sepanjang berkerjaya, beliau turut terlibat sebagai panel kawalan mutu dan penulis buku-buku teks Bahasa Malaysia untuk Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (2008) serta Tahun 4 dan Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan (2013, 2014). Beliau pernah membantu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Asia University (AeU) dalam penyeliaan latihan mengajar untuk bakal-bakal guru.
​
Apabila program memperkasakan pendidikan di peringkat daerah menerusi PPPM dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan, beliau telah dilantik sebagai School Improvement Specialist Coach bagi bidang Bahasa Melayu di Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah. Antara tugasnya ialah membimbing guru-guru Bahasa Melayu sekolah rendah dan sekolah menengah dalam peningkatan kualiti pengajaran. Dalam tempoh berkhidmat (2014-2015), beliau telah melawat lebih 30 buah sekolah dan membimbing lebih 50 orang guru dalam aspek pedagogi.
​
Setelah bersara daripada perkhidmatan awam, beliau menumpukan perhatian pada kerja penulisan dan penyuntingan. Antara hasil tulisannya ialah buku-buku kumpulan sajak Daerah Mesra (2017), Bumi Bertuah Ini (penyelenggara bersama, 2017), buku sokongan Bahasa Melayu untuk Tahun 4 dan Tahun 5 (dalam proses penerbitan di Dewan Bahasa dan Pustaka), Panduan Menulis Teks Pengacaraan dan Panduan Menulis Teks Ucapan (dalam proses penerbitan, 2018). Beliau juga menjadi penulis bidang tatabahasa di tabloid TUTOR terbitan Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad untuk calon-calon SPM 2017. Dalam tempoh persaraan, beliau telah mengajar di UniKL MICET, Melaka dalam mata pelajaran Bahasa Kebangsaan. Dalam Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA), beliau pernah menjawat jawatan Ketua Dua.
​
Pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (1993, 2005, 2010) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia; anugerah Munsyi Dewan Paling Aktif (2012) daripada Dewan Bahasa dan Pustaka; serta Pingat Jasa Kebaktian (PJK, 2005) dan Bintang Khidmat Terpuji (BKT, 2016) daripada Kerajaan Negeri Melaka.​